Menariknya novel ini, penggunaan teknologi kristal dalam dunia itu diterangkan dengan lebih terperinci, logik dan berkesan dalam penggunaan senjata, telekomunikasi, pengangkutan, perubatan dll [Entah kenapa, unsur-unsur kristal seringkali digunakan dalam fiksyen sains lain yang saya pernah baca]. Penerangan lain tentang dunia di sekitar Empayar Nilam, kerajaan dan sejarahnya menyediakan pembaca untuk siri novel seterusnya. Watak-watak utama menggerakkan cerita dengan baik, namun adakalanya masih kurang menyentuh emosi dalaman, hanya secara permukaan sahaja. Deskripsi babak-babak pertempuran menghiasi kisah seperti dalam komik pertarungan, dan tidak kurang juga kisah perasaan antara Tengku Arafiah dengan Lim yang disisipkan seketika di kala Empayar Nilam sedang rumit menghadapi ancaman musuhnya. Bahagian cerita sewaktu mereka mencari dan menemui ‘sepasang sayap’ ciptaan Adinila antara yang menarik saya untuk menekuni novel ini hingga ke akhir, walaupun tanpa illustrasi lakaran kapal udara yang menjadi inspirasi penulisnya.
Lebih penting lagi, fiksyen sains di dalamnya tidak terlalu kebaratan. Apatah lagi imbas anime Jepun selintas terkesan pada kehadiran watak Pusaran dan Baron (sesiapa yang sering mendekati anime Jepun pasti mudah meneka watak itu). Ada beberapa persoalan lain yang sengaja ditinggalkan penulisnya untuk dijawab dalam siri seterusnya, seperti siapakah pembunuh Raja See Khao, atau siapakah askar misteri yang ditemui Hamzah?
Sebagai pembaca, saya kira ini fiksyen sains Malaysia yang harus dimiliki. Kepada penulisnya, syabas dengan kehadiran novel sulung ini (harap saya tak terlewat). Dah tentu saya tak sabar ingin membaca sambungan siri ini. Mengingatkan saya pada Siri Saga Artakusiad karya Ahmad Patria Abdullah (ternanti-nanti karya terbaru beliau). Apapun, sedikit kesalahan ejaan di dalamnya sedikit menganggu bacaan saya yang suka menggaris perkataan. Pendapat saya, tak perlu lampiran tentang watak di hujung novel kerana lebih menarik jika diterangkan dalam bentuk penceritaan. Mungkin sekeping peta dan illustrasi kapal juga senjata dapat membantu menghayati Saga Empayar Kristal ini dengan lebih berkesan.
Entri Asal: http://mengukir-gemawan.blogspot.com/2008/08/sayap-adinila.html