Review Waris Jagat

Epik Pedang & Kristal

Saya sangat kagum dengan PTS kerana mengambil inisiatif untuk menerbitkan karya-karya jantan sebegini. Jika tidak kerana PTS mungkin saya hanya dapat bayangkan lanskap buku Malaysia pada masa hadapan di mana hanya buku sastera yang dapat dibaham oleh pembaca lelaki.

Semenjak saya tahu dengan kewujudan program PTS Fortuna untuk memperkenalkan genre Sai Fai dan Fantasi dengan label.. emm… Sai Fai dan Fantasi, melonjak-lonjak gembiralah hati saya. Juga tidak sabar untuk membaca karya-karya yang bakal diterbitkan. Dan selepas karya pertama dalam label ini bertajuk Opera Angkasa selesai dibaca, semakin geramlah saya hendak membaca novel sai fai dan fantasi melayu seterusnya. Hilang juga kehausan saya suatu hari dengan adanya Sayap Adinila di tangan saya.

Sayap Adinila ialah novel sulung Firdaus Ariff dan buku pertama dari Saga Empayar Kristal. Beliau ialah seorang ‘award winning blogger’ di Malaysia dengan blognya Studio Inspirasi, blog yang saya layari secara obsesnya setiap hari. Mungkin pernah mencapai puluhan klik butang Reload dalam sehari.

Saya tidak sabar-sabar hendak membaca Sayap Adinila semenjak Saudara Firdaus memaparkan wajah kulit buku sulungnya di blog beliau. Amat beruntung juga dapat beli Sayap Adinila terus daripada Saudara Firdaus. Tambahan pula telah siap ditandatangan dan dapat dibeli dengan harga semenanjung (yang jauh lebih murah!). Kos penghantaran pula ditanggung Saudara Firdaus sendiri (Terima Kasih!).

Sayap Adinila mengisahkan pengembaraan Putera Fauzi dari Empayar Nilam dan rakan-rakannya, Lim dan Syah dalam mencari dua buah kapal udara bernama Rajawali Biru dan Rajawali Merah. Mereka terpaksa mencari dua kapal udara yang belum tentu wujud ini apabila Empayar Nilam telah diugut oleh Kerajaan Angkor, yang telah menculik salah seorang gabenor Empayar Nilam. Kerajaan Angkor mahukan Rajawali Merah dan Rajawali Biru sebagai pertukaran.

Dunia fantasi Empayar Kristal* daripada pengamatan saya ialah sebuah realiti alternatif yang berlaku di bumi ini sendiri (Real World Alternate Timeline?). Berlaku sekitar kurun ke 15 di mana wujud beberapa empayar dan negara-negara bebas. Saya bayangkan kisah dalam Sayap Adinila berlaku di Asia Tenggara berdasarkan nama Kerajaan Angkor.

Teknologi dunia ini berpaksikan teknologi kristal yang mempengaruhi ciptaan-ciptaan masyarakat dari pengangkutan awam ke persenjataan. Antara senjata yang diperbuat daripada teknologi kristal ialah pedang kristal yang menjadi senjata pilihan dalam dunia Empayar Kristal.

Pedang-pedang kristal inilah yang menjadi kegemaran saya ketika membaca Sayap Adinila kerana ada pedang kristal maknanya ada adegan aksi dan bergasak. Saya berterima kasih kepada Saudara Firdaus keranamenerangkan adegan berlawan dan aksi dengan teliti dan lebih panjang daripada biasa. Teruskan! Dan jika lebih ganas, itu adalah lebih baik!

Selain adegan gasak, Sayap Adinila diimbangi dengan adegan yang melibatkan minda. Saya tidak mahu ’spoil’kan di sini, maka pembaca wajib beli dan baca sendiri. Sayap Adinila berakhir dengan beberapa persoalan yang masih belum terjawap. Tentunya untuk sekuel nanti (Paruh Adinila? Haha, gurau sahaja!) persoalan ini akan dirungkai. Jangan lupa beli Sayap Adinila di kedai buku berhampiran sekarang!!! Saudara Firdaus, teruskan usaha!!! Dan saya mahukan lebih banyak darah!!!

*Apabila dibuang saga, jadilah Empayar Kristal. Tapi perlu pengesahan dari Saudara Firdaus sendiri, apakah sebenarnya gelaran kepada dunia/universe ciptaannya.

Entri Asal: http://warisjagat.wordpress.com/2008/03/04/epik-pedang-dan-kristal/

Tinggalkan jawapan